Segala puji hanya bagi Allah s.w.t., Tuhan
empunya sekalian Alam, Tiada Ia berhajat kepada selain-Nya, malah selain-Nya
lah yang berhajat kepada-Nya. Selawat dan salam semoga dilimpahkan Allah s.w.t.
ke atas junjungan kita Sayyidina Nabi Muhammad s.a.w. (Ya Allah tempatkan
baginda di tempat yang terpuji sepertimana yang Kau janjikan Amin) Beserta
Ahlulbayt dan Para Sahabat R.anhum yang mulia lagi mengerah keringat
menyebarkan Islam yang tercinta. Dan kepada mereka yang mengikut mereka itu
dari semasa ke semasa hingga ke hari kiamat...Ya Allah Ampuni kami, Rahmati
Kami, Kasihani Kami ...Amin
Amma Ba'du,
Al-Imam Bukhari dan Al-Imam Muslim rah.
meriwayatkan daripada Sayyidina Anas bin Malik r.anhu, bahawa junjungan kita
Nabi s.a.w. bersabda :
"sedianya sembahyangku akan kupanjangkan,
namun bila ku dengar tangisan bayi, terpaksa aku singkatkan kerana mengetahui
betapa gelisah hati ibunya, dan di mana saja baginda dengan anak kecil maka
dengan penuh kasih sayang dipegangnya."
Mengusap-usap dan membelai rambut kepalanya
atau menciuminya, seperti kata Sayyidatina Aisyah r.anha, bahawa Nabi s.a.w.
menciumi Al-Hassan dan Al-Husin, di hadapan Al'aqra bin Habis yang hairan lalu
berkata :
"Ya Rasulullah , saya mempunyai sepuluh
anak, tak seorangpun yang pernah ku cium seperti engkau ini," maka
Rasulullah s.a.w. dengan tajam memandangnya, seraya bersabda "sesiapa yang
tidak memiliki rasa rahmat dalam hatinya, tidak akan dirahmati oleh Allah
s.w.t."
Sayyidatina Aisyah r.anha juga meriwayatkan :
bahawa datang seorang Badwi kepada Rasulullah s.a.w. :Kalian suka benar
menciumi anak, sedang kami tidak pernah melakukan yang demikian itu. Maka
Rasulullah s.a.w. segera membalas "Apakah yang hendak kukatakan bila
rahmat sudah hilang tercabut dari seseorang."
Baginda s.a.w. selalu menggembirakan hati
anak-anak, dan bila datang seorang membawa bingkisan, berupa buah-buahan
misalnya, maka yang pertama diberinya, ialah anak-anak kecil yang kebetulan ada
di majlis itu, sebagai yang diriwayatkan oleh Al-Imam Ibnu Sunniy dan Al-Imam
At-Thabrani rah.
Sedang terhadap yatim piatu, perhatian Nabi
s.a.w. sangat besar sekali, prihatin, melindungi, dan menjamin keperluan hidup
mereka, dan selalu dipesankan dan dianjurkan kepada umatnya dalam tiap keadaan.
"Aku dan pemeliharaan anak yatim, akan berada di syurga kelak",
sambil mengisyaratkan dan mensejajarkan kedua jari tengah dan telunjuknya,
demikianlah sabda baginda s.a.w. (H.R. Bukhari)
Dalam hadis yang lain baginda s.a.w. bersabda
"Sebaik-baik rumah tangga muslim ialah yang di dalamnya ada anak yatim
yang dilayani dengan baik" (H.R. Ibnu Majah)
Dan apabila ada seseorang dari sahabatnya
menderita kerana sesuatu musibah yang dialaminya, baginda s.a.w. juga ikut
merasakannya, bahkan ada kalanya menangis kerana terharu.
Pada suatu hari, baginda s.a.w. bersama dengan
Sayyidina Abdur Rahman bin Auf r.anhu menjenguk ke rumah Sayyidina Sa'ad bin
Ubadah r.anhu yang sedang sakit, demi Nabi s.a.w. melihatnya, maka
bercucuranlah air matanya, sehingga menangis pula semua yang ada di rumah itu.
Dan ketika Sayyidina Usman bin Madh'un
meninggal, Nabi s.a.w. datang melewat, baginda s.a.w. lalu menciumnya sedang
air matanya meleleh membasahi pipinya, sehingga Sayyidatina Aisyah r.anha
berkata aku melihat air mata Rasulullah s.a.w. jatuh membasahi wajah Usman
r.anhu yang telah wafat itu, di dalam riwayat yang lain, Nabi s.a.w. mencium
antara kedua matanya, kemudian menangis kerana terharu.

0 komentar:
Posting Komentar